Wednesday, January 20, 2010

Bengkel Blog

Satu bengkel pembinaan blog telah diadakan di Makmal Komputer, Pusat Multimedia, Perpustakaan Awam Terengganu bermula pada 18 - 21 Januari 2010. Bengkel ini bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada 4.30 petang.

Bengkel ini adalah sebuah program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu yang dibiayai oleh ExxonMobil dan merupakan kesinambungan kepada projek Kem Mesra Komputer. Tujuannya adalah untuk mendedahkan murid-murid sekolah rendah kepada kaedah-kaedah penggunaan 'Microsoft Office.' Peserta bengkel ini diperkenalkan dengan kemahiran mencari maklumat melalui pelbagai sumber media. Peserta juga diberikan sebuah beg, beberapa modul, sebuah fail, dan juga pendrive 2GB setiap seorang.

Ianya melibatkan seramai 40 murid dari 20 buah sekolah rendah di daerah sekitar Kuala Terengganu yang telah mempunyai pengetahuan tentang komputer. Dua orang murid sekolah kami telah turut sama terlibat iaitu pelajar dari Tahun 5 Karisma, Adik Muhamad Faiz bin Amri dan Tuan Harith Rafi'e bin Tuan Putera.

Tuan Pengarah Perpustakaan Awam Terengganu, Puan Hajah Nor Akmal binti Abdul Fatah dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar pelajar memanfaatkan bengkel ini, dapat membina satu blog yang hebat dan menarik serta boleh dibanggakan. Beliau juga berharap agar pelajar dapat berkongsi maklumat yang baik dengan orang lain dan merasa seronok terpilih menyertai bengkel ini.

Fasilitator yang terlibat ialah Encik Zahron bin Mohd Khalid dan Encik Jefri bin Mat Yasin.
Kami bagi pihak SK Padang Hiliran ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, ExxonMobil, pihak Jabatan Pelajaran Terengganu, dan fasilitator yang telah memberikan ilmu kepada murid-murid kami.

Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran

Sekolah kami juga mempunyai kelas untuk murid-murid istimewa. Pelbagai aktiviti yang dilakukan bersama guru-guru mereka. Antaranya seperti yang dapat kita lihat di dalam gambar-gambar di bawah.

Persekitaran Sekolah

Pintu Utama

Bangunan Sekolah

Kantin Kami

Prasekolah Nur Hannan

Pelan Kedudukan

Tuesday, January 19, 2010

Pulau Bidong




Pulau Bidong terletak kira-kira 80km nautika dari Kuala Terengganu. Pulau yang berbukit dengan kawasan landai terlalu kecil ini mempunyai keluasan 300 hektar. Perjalanan bot ke Pulau Bidong dari jeti Merang dengan jarak 35km mengambil masa selama 30 minit.

Pulau Bidong mempunyai pantai yang indah dan bersih. Kejernihan air di sekitar pantainya sehingga dapat melihat pelbagai spesis anak ikan berenang-renang di tepi pantai. Pulau ini juga kaya dengan keindahan batu karang.

Selain kaya dengan sumber ikan yang bermutu, seperti kurau, pulau ini sesuai untuk aktiviti scuba diving.

Persekitaran Pulau Bidong merupakan kawasan tangkapan ikan zon B, terutama bagi nelayan yang menggunakan pukat jerut dan pukat tunda. Kawasan lautnya juga terkenal dengan tangkapan sotong. Semasa cuaca buruk, Pulau Bidong menjadi tempat perlindungan nelayan pantai timur.

Keindahan alam semulajadi dengan hutan daratnya sesuai untuk pelbagai aktiviti rekreasi darat dan laut seperti kembara, perkhemahan, memancing, menyelam, jet ski, dan bersantai.

Pulau Bidong juga terkenal sebagai bekas penempatan pelarian Vietnam. Setiap pelancong yang singgah di pulau ini, akan dapat melihat tinggalan bangunan PHV. Nama Bidong telah menjadi terkenal di seluruh dunia kerana penempatan PHV yang penuh dengan nostalgia.

Batu Bersurat




Pada tahun 1887, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, di tepi Sungai tara, di Kampong Buluh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Kemudian pada tahun 1902, Batu ini dijumpai pula oleh Saiyed Hussein bin Ghulam Ai-Baukhari, seorang ahli perniagaan, di bahagian tangga surau Kampung Buluh yang dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut.Batu itu telah patah sebahagian di sebelah atas.


Saiyed Hussin meminta penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala terengganu. Sampai di Kuala Terengganu Batu itu dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian batu itu diletakkan di atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S. Peterson meminta seorang Jurufoto berbangsa Jepun N. Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O Blegden untuk dibuat pembacaan

Batu ini bertulis di dalam bahassa Melayu dengan tulisan jawi yang bertarikh 702 Hijrah. Tulisan pada Batu ini menerangkan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu berserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.

Pada tahun 1923, Batu Bersurat ini telah dihanatar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, batu tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu.
Pada Tahun 1991, Jumaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman diantara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan Encik Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada Y.A.B. Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.

Batu ini merupakan sebuah Peringatan berbahasa Melayu yang terawal yang dijumpai di
Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengisytiharan agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-undang Islam.

Tokoh Tempatan


BELASUNGKAWA DATO’ HAJI RAZALI BIN ISMAIL (1949-2008)

PPAT KEHILANGAN PEMIMPIN DISEGANI

Meskipun sedetik berlalu, pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan manusia boleh berlaku. Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) khasnya, kehilangan seorang pemimpin dan tokoh akademik berwibawa serta disegani ramai kerana pengalaman dan idea bernas yang sering dilontarkan bagi melahirkan cerdik pandai. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Pengerusi Dato’ Razali bin Ismail, 59 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas. Berita kematiannya memang mengejutkan.

Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Pelajaran pada 18 Mac 2008 merupakan Ahli Perlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November 2008 ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.


Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Berang pada 25 Jun 1949 mendapat Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya tahun 1973 dan kemudiannya melanjutkan Ijazah Sarjana juga dalam bidang pendidikan di University of Birmingham tahun 1986 dan 1987.


Pengalaman sebagai seorang Pendidik, Pensyarah dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, di Kementerian Pelajaran banyak membantu beliau menjadi seorang pemimpin yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat. Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2004.


Selaku Timbalan Pengerusi PPAT yang dilantik pada 7 Julai 2004, beliau telah bersama-sama membangunkan PPAT dalam mencetuskan tradisi keintelektualan dan budaya ilmu. Nilai tambah dalam bidang pembacaan termasuk infrastruktur perpustakaan samada di pihak pengguna mahupun warga kerja perpustakaan adalah penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bestari dan kreafif. Program terakhir Allahyarham bersama PPAT ialah merasmikan Program Jerayawara Bulan Bahasa Dan Sastera Negara 2008 Peringkat Wilayah Timur pada 26 Oktober 2008 bertempat di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.


Personalitinya yang sederhana dan cukup mesra membuatkan Allahyarham mudah diterima oleh semua golongan masyarakat. Allahyarham meninggalkan balu To’ Puan Nooraini Lob Yusoff 51, dan lima orang cahaya mata iaitu Muhamad Nurazli 30, Pengurus di Sime Darby Bhd, Asrul Shah 27 bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Khairul Amar 23, masih menuntut di Amerika Syarikat, Khairul Anwar menuntut di Universiti Selangor dan yang bongsu Khairul Arif 16, pelajarolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.


Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang juga.



Monday, January 18, 2010

Pulau Kapas


Kira-kira seratus tahun lampau, Pulau Kapas yang terletak enam kilometer dari Pantai Marang, Terengganu amat ditakuti oleh penduduk dan nelayan tempatan. Mereka cukup takut berteduh terutamanya pada musim tengkujuh. Mereka takut dan khuatir nyawa terancam apbila mendekatinya.

Pulau Kapas dikatakan berpenunggu puaka-beberapa orang yang singgah di situ menerima nasib malang, menemui ajal dalam keadaan yang ngeri dan memilukan. Memang ada di kalangan nelayan-nelayan yang menjadi mangsanya, ada juga yang hilang begitu sahaja. Demikian menurut cerita beberapa orang penduduk setempat.

Selain itu, terdapat cerita yang diperturunkan dari mulut ke mulut tentang asal usul Pulau Kapas, iaitu tentang adanya seekor harimau ganas yang tidak diketahui jenisnya yang sentiasa membaham sesiapa sahaja yang berada di situ. Harimau tersebut kononnya dapat berubah wajah menjadi orang tua atau perempuan cantik yang pandai menggoda.

Apabila bertukar wajah menjadi orang tua ia meminta orang melakukan sembahan-sama ada kambing atau anak lembu. Darahnya hendaklah dihantar ke puncak bukit di situ. Jika ingkar, ia bertukar menjadi harimau, lantas membaham yang ingkar.

Apabila menyerupai perempuan cantik, ia lantas sahaja menggoda. Apabila mangsanya tergoda, ia berubah menjadi harimau dan membaham mangsanya.

Bagaimanapun, orang yang ke Pulau Kapas kini tidak pernah berasa bimbang atau takut lagi. Segala cerita tentang puaka dan harimau itu tinggal dongeng. Pulau Kapas kini menjadi pulau pelancongan yang kian sibuk.

Pulau Kapas yang terletak di perairan Terengganu dikelilingi air laut yang jernih bagaikan kaca sehingga kelihatan batu-batu karang dan ikan pelbagai jenis berwarna-warni.

Pantainya putih bersih dan pemandangannya begitu menarik dengan batu-batan menghampar ke laut. Ia berbukit-bukit dengan hutan menghijau.

Pulau ini juga mempunyai beberapa keistimewaan lain, termasuk sebuah perigi berair sejuk semulajadi. Ia juga sesuai bagi yang berminat dengan aktiviti berperahu, menangkap ikan, menyelam, berkelah dan memancing.

Untuk tiba di pulau ini tidak begitu menyulitkan. Memandangkan terdapat banyak perkhidmatan bot penumpang dari pantai Marang. Pejalan sejauh enam kilometer mengambil masa kira-kira 30 minit. Sebarang tempahan dan pertanyaan boleh dibuat menerusi Hotel Pantai Primula, Kuala Terengganu.

TAMAN LAUT

Sebagai tetamu Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, ahli-ahli PERTAMA telah dibawa melawat Pulau Kapas yang diisytiharkan sebagai Taman Laut yang diberi perlindungan dan perhatian oleh Kerajaan Terengganu

Pulau Kapas dengan keluasan 2.72 km persegi memang mengkagumkan. Sepanjang pantai memutih umpama kapas. Air laut yang jernih kebiruan bagaikan cermin, dari permukaannya jelas kelihatan pemandangan di dasarnya, batu-batu karang yang hidup dan mati ditutupi lumut laut dapat dihayati. Begitu juga kumpulan ikan-ikan kecil berkilauan berenang ke sana sini di celah-celah batu karang dan sepanjang pantai sungguh menghiburkan serta menyeronokkan.

Angin dingin bertiup dari arah Laut Cina Selatan begitu nyaman, burung-burung Camar berwarna putih bersih berterbangan di permukaan laut dengan riangnya, bagaikan sedang memperagakan tarian dari syurga.

Pulau Kapas menurut ceritanya didatangi oleh penyu dari jenis Agar untuk bertelur sepanjang bulan Jun hingga Oktober pada setiap tahun.

Untuk sampai ke Pulau Kapas kita perlumenaiki bot dari pengkalan nelayan di Marang dengan perjalanan sejauh enam kilometer, mengambil masa lebih kurang 45 minit setelah bergelut dengan ombak dan gelombang. Dari atas bot jelas kelihatan keindahan laut di persekitaran dan juga gunung-ganang di sekeliling pulau yang begitu menarik, terutama kepada pencinta alam semulajadi.

Pulau Kapas merupakan syurga bagi penyelam, snoorkeling, scuba diving dan aktiviti seumpamanya. Airnya yang jernih memberikan ketenangan kepada para pengunjungnya. Perkhidmatan bot dengan kadar bayaran RM15 seorang pergi balik, tempat penginapan chalet dan kemudahan-kemudahan sampingan yang lain memang disediakan untuk para pengunjung dengan layanan ramah dan mesra daripada pekerja-pekerjanya.

Di pulau ini pelancong bukan sekadar dapat menikmati keindahan pantai dan Taman Lautnya malah hampir 95% kawasannya dipenuhi oleh bukit dan gunung-ganang yang ditumbuhi oleh hutan hijau semulajadi. Pulau ini juga merupakan tempat perlindungan nelayan sewaktu musim tengkujuh.

Terdapat berbagai lagenda mengenai pulau ini yang dipercayai oleh penduduk-penduduk tempatan. Kononnya pada suatu masa dahulu sepanjang pantai pulau ini pasirnya berwarna kuning. Sebuah kapal dagang membawa muatan kapas telah tenggelam berhampiran di situ.

Semua muatan kapal hanyut dibawa ombak ke pantai pulau lalu mengubah warna pasirnya hingga menjadi putih. Sebab itulah pulau ini dinamakan Pulau Kapas. Satu lagi lagenda mengatakan pada zaman dahulu sesiapa yang pergi ke pulau ini pasti akan mati dan pulau ini melambangkan kapas bagi mengapankan orang yang telah mati di sana.
Berbagai lagenda lain dapat didengar daripada penduduk tempatan, tetapi biar apa pun dongeng yang diperdengarkan, pulau ini begitu menarik perhatian pengunjungnya, kaya dengan keindahan, menawarkan ketenangan dan kedamaian yang pasti mencengkam citarasa pengunjungnya.

Usaha positif daripada pihak berwajib ke arah memajukan dan memperkenalkan Pulau Kapas sebagai suatu destinasi pelancongan terkenal amat cerah kelihatan, dan tidak kurang pentingnya ia merupakan suatu khazanah unggul warisan kekayaan negeri Terengganu Darul Iman.

KESUCIAN PULAU KAPAS

Keistimewaan Pulau Kapas, keaslian alam semulajadi dan tempatnya. Pelancong yang selalu berkunjung ke pusat peranginan pantai semenanjung, tentu setuju Pulau Kapas antara pulau peranginan paling terpelihara.

Kedudukannya antara yang terdekat tanah besar membuat perjalanan tidak memenatkan dan membolehkan pelancong untuk menikmati sepuasnya apa yang tersedia di pulau ini.

Walaupun dekat dan pengusaha pusat peranginan ini ghairah memperkenalkannya, kesucian pulau menjadi keutamaan. Banyak kegiatan sukan air dielakkan semata-mata untuk memelihara alam semulajadinya.

Namun ini tidak bererti tiada kegiatan langsung ketika di sini. Sedaya boleh kegiatan itu tidak mencemar alam semulajadi.

Mereka yang bijak, menggunakan kelebihan ini untuk beristirehat. Cara terbaik menikmati keindahan perairan Pulau Kapas ialah merentas pinggir pulau menaiki bot atau pergi snoorkeling di perairan berbatu karang.

Anda boleh berehat atau baring di dalam bot lebih setengah jam untuk mengelilingi pulau ini tanpa berasa jemu. Sepanjang perjalanan anda dihidangkan pemandangan menarik seperti gua dan pelbagai jenis burung cantik.